Dinihari kita sering didatangi sepasang manusia, yang kebiasaannya kurang pancainderanya, yang akan menghampiri saat kita sedang makan atau minum di gerai-gerai. Yang di jual kebiasaannya tidak lain hanyalah tisu.
Bertopangkan seorang teman yang setianya seakan-akan penunggu dan sebatang tongkat, mereka akan beralih dari satu meja ke satu meja untuk, kurang di pastikan, samada untuk menjual tisu atau meraih simpati. Sebagai tanda syukur dengan nikmat Allah yang menjadikan kita lengkap pancainderanya, pasti tidak mungkin rasanya untuk membiarkan mereka ini berlalu tanpa memberi sesuatu, dengan niat, ingin membantu. Kiranya jika tiada tisu bersama sekalipun, pastinya ramai yang ingin menghadiahkan sesuatu untuk mereka dan masih lagi dengan niat, ingin membantu.
Suatu masa, tiba-tiba datang satu pengkhabaran. Khabarnya mereka ini sebenarnya tidak lain melainkan sekumpulan manusia yang cuba mengambil kesempatan di atas kemurahan hati manusia-manusia lain. Atau dengan kata lain, mereka ini PENIPU. Mereka akan datang, dengan berbekalkan wajah sedih yang meruntun jiwa, membawa harapan yang cuma satu, iaitu cuba menjentik simpati hati-hati yang lain. Tetapi jauh di pengetahuan umum, mereka ini sebenarnya tidak lain melainkan hanya pekerja. Hasilnya itu kemudiannya nanti akan diserahkan kepada tuannya yang sedang menunggu ntah di mana. Sedekah yang suatu ketika dahulu kita kenali cuma dilakukan oleh orang-orang yang kepapaan, ternyata kini telah bertukar menjadi suatu bentuk perniagaan. Pembohongan apakah ini?
Lalu umat manusia, yang merasakan mereka punya sesuatu, semakin meragu untuk memberi. Manakan tidak, umat merasa seakan ditipu dan diperbodoh kiranya terpedaya dengan simpati yang dihidang. Jadinya, ramai yang memutuskan untuk tidak memberi, walaupun mungkin si peminta itu benar-benar dalam kesempitan dan lebih rela memalingkan pemberian mereka di tabung-tabung masjid, walaupun cuma seminggu sekali hadirnya. Lalu secara berjamaah mereka bersetuju untuk tidak memberi. Alasannya cuma satu, mana mungkin aku memberi pada si penipu.
Umat itu bersolat, dalam sehari, lima waktu solatnya. Sebaik takbir, mereka beriftitah. Di akhir iftitahnya mereka bersumpah, bahawa “sesungguhnya solatku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah tuhan sekalian alam”. Dalam sehari, lima kali jugalah mereka perbaharui sumpah mereka. Tetapi persoalannya apa yang berlaku setiap kali selesainya solat? Setiap hari yang berlaku, setiap pancaindera-pancaindera ini satu-persatu akan memulakan pelanggaran. Dari mata hingga ke kaki, dari zahir hingga batin, pelanggaran ini tak berkesudahan rasanya. Sumpah yang di ulang-ulang tadi seakan tidak bernyawa lagi. Dari satu penipuan sumpah ke satu penipuan sumpah yang lain. Dan masih tanpa rasa bersalah, lidah-lidah ini terlalu lancar untuk meminta dan memohan agar Dia yang punya segala sesuatu, mencukupi segala keperluan. Dan apa yang lebih dahsyat lagi ialah, Dia, yang segala sesuatu tunduk kepadaNya, yang Maha Kaya, yang setiap hari ditipu hambanya yang maha segala kekurangan, masih lagi belum pernah sedetik waktupun mengurangkan rahmatNya. Belum pernah walau sekali pun menyekat rezkiNya untuk mereka. Dan yang paling hebat penipuannya barangkali ialah yang sedang rancak menulis ini. Sedang Dia sangat mengetahui bahawa akulah yang paling banyak penipuannya. Kiranya diselak tabir yang menutup apa yang ada disebalik mata,pastinya akulah munafik yang maha dahsyat di kalangan penghuni langit. Tetapi Dia yang Maha Penyantun, masih lagi dengan sifat penyayangnya, melayan dan memenuhi permintaanku, tanpa pernah sekalipun memalingkan WajahNya.
Jika difikirkan sejenak, sedang Dia yang punya segala sesuatu, masih mampu bersantun dengan hambaNya, yang tak punya apa-apa, lalu siapa aku untuk tidak mampu berbuat yang sama kepada yang lain. Kiranya Dia mampu untuk memenuhi setiap permintaanku walaupun aku tak lain hanyalah si penipu yang maha hina, barangkali aku juga sepatutnya mampu memberi walaupun aku sedar yang datang meminta itu tak lain hanyalah cerminan wajahku. Asalkan yang datang itu meminta,dan diragui sedang menipu, barangkali wajib untukku memberi, walaupun 10 sen cuma. Wallahualam
No comments:
Post a Comment