Life spent with someone for a lifetime may be meaningless, But a few moment spent with someone who really loves you, means more than a life itself

Saturday, July 2, 2011

KUASA

BUKANKAH setiap daripada kita, dengan apa cara pun ingin mempunyai kuasa, dan menjadi seorang yang berkuasa. Saya kira untuk membicarakan tentang kuasa, tidak lengkap jika tidak melihat bahasa.Mengapa?

Kerana bahasa adalah alat fikiran dan pemikiran manusia. Jerman, sebuah negara pongah rakus ketika Perang Dunia Kedua. Nah, apa yang pernah dirakam oleh Jerman pada bahasanya tentang kuasa? Peribahasa Jerman ada menyebut, ‘Berikan rahsia anda yang paling kecil, mulai saat itu kuasa tiada lagi di tangan anda.’

Negara lain yang pernah menjadi kuasa ketika era tersebut ialah Jepun, bahasanya ada merakam sebuah peri, ‘Tipulah sang hartawan dan penguasa, tetapi jangan menghina mereka.’ Dan barangkali yang lebih menarik adanya peribahasa berbunyi, ‘Tidak ada bunga yang akan mekar menguntum merah selama sepuluh hari, dan tiada kuasa yang akan berpanjangan selama sepuluh tahun.’

Negara paling berkuasa di Asia saat ini, China juga mempunyai senarai peribahasa tentang kuasa yang menggamamkan. Kata ahli bahasanya, ‘Lebih kecil kuasa yang dimiliki oleh seseorang, lebih banyak ia akan menggunakannya.’ Atau ambil pula peribahasa yang lain, iaitu saat kuasa mendorong kronisme, ‘Bila seseorang menjadi berkuasa, ayam dan anjing peliharaannya pun dibawa ke syurga.’ Umat Cina juga merakam peribahasa, ‘Mereka yang berkuasa adalah mereka yang tidak jujur.’ Dan manusia Cina juga menghormati pengarang dan senimannya, ‘Dakwat yang paling pudar lebih berkuasa dari kuasa memori seorang pemerintah.’

Mungkin kata-kata yang paling tersohor tentang kuasa ialah dari peribahasa Inggeris, ‘Kuasa mendorong korupsi, kuasa mutlak adalah korupsi yang mutlak.’ Atau kata-kata yang hampir sama, ‘Kuasa menarik minat orang yang korup.’

Akan tetapi kuasa yang kita perkatakan di atas tampaknya semua menuju kepada kekejian moral seorang penguasa. Mungkinkah kita sendiri, yang tidak punya kuasa memilikinya tanpa pengetahuan kita. Di sinilah datangnya peribahasa Afrika, ‘Jangan perlekehkan kuasa orang bodoh dalam kumpulan yang besar’. Hal yang sama diberikan oleh manusia Itali tentang kuasa, ‘Hanya ada tiga orang berkuasa, agamawan, raja dan lelaki yang tidak punya apa-apa’.

Bangsa Melayu, bangsa yang kaya dengan peri dan kias tidak ketinggalan. Pernah mendengar peribahasa berbunyi, ‘Belum ada gigi sudah pandai menggigit.’ Ia kritik berkenaan orang yang belum cukup berkuasa tetapi sudah menampilkan taringnya. ‘Bagai durian menindih mentimun’ pula tentunya difahami perihal yang berkuasa melenyek dan menindas yang lemah.

Kuasa diperlihatkan sebagai pusat hitam, membawa kepada kejatuhan, kekacauan moral, kekaburan peribadi dan merobek sahsiah. Nabi Muhammad saw, peribadi pedoman kita menyatakan tentang kuasa Nabi Sulaiman a.s, “Nabi Sulaiman disuruh memilih antara harta, kerajaan dan ilmu, maka memilih Sulaiman akan ilmu, maka diberi Allah akan kerajaan dan harta.”

Islam meminta penganutnya memegang kuasa ilmu, maka kuasa lain akan datang kemudiannya. Kuasa yang lain dari ilmu adalah kuasa yang rapuh. Tentu, tidak lengkap catatan ini tanpa menurunkan firman Yang Maha Berkuasa tentang kuasa itu sendiri:

‘Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: "Bahawasa- Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu". Mereka menjawab: "Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata: "Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan". Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.’

Berdasarkan ayat di atas, sungguh kuasa di dalam Islam diturunkan dari langit kepada kita, Allah yang melantik dan memilih sang Penguasa. Kuasa dan memilih yang berkuasa dalam kalangan kita bukanlah urusan manusia yang penuh hawa nafsu yang maha rakus seperti kita ini. Akan tetapi siapakah yang berkuasa di muka bumi ini yang telah dilantik oleh Yang Maha Berkuasa untuk kita?

Tidakkah umat Islam membaca al-Fatihah memohon jalan lurus sentiasa? Siapakah yang empunya jalan lurus meniti kuasa dengan benar dan berhak kita ekori mereka? Sabda Baginda saw: “Dari Abdullah bin Mas’ud katanya, ketika kami berada di sisi Rasulullah saw tiba-tiba datang sekelompok anak muda dari kalangan Bani Hasyim. Apabila terlihat akan mereka, maka kedua mata Rasulullah saw berlinangan dan wajah baginda berubah. Aku pun bertanya:’ Mengapakah kami melihat pada wajahmu sesuatu yang kami tidak sukai?” Baginda menjawab. “ Kami ahlul-bait telah Allah swt pilih untuk kami akhirat lebih dari dunia. Kaum kerabatku akan menerima bencana dan penyingkiran sepeninggalanku kelak sehingga datangnya suatu kaum dari sebelah Timur yang membawa bersama mereka panji-panji hitam. Mereka meminta kebaikan tetapi tidak diberikannya. Maka mereka pun berjuang dan memperolehi kemenangan, lalu diberikanlah apa yang mereka minta itu, tetapi mereka tidak menerimanya, hingga mereka menyerahkannya kepada seorang lelaki dari kerabatku yang memenuhi bumi dengan keadilan sebagaimana bumi dipenuhi dengan kedurjanaan. Siapa di antara kamu yang sempat menemuinya maka datangilah mereka walaupun merangkak diatas salji. Sesungguhnya dia adalah Imam Mahdi.” (HR Abu Daud, At-Tarmizi, Ibnu Majah).

No comments:

Post a Comment