Life spent with someone for a lifetime may be meaningless, But a few moment spent with someone who really loves you, means more than a life itself

Saturday, July 9, 2011

DEMO....

Hari ini ibu negara menyaksikan ribuan rakyatnya berhimpun menuntut hak yang dikatakan tidak diberi kepada mereka secara adil. Dengan berslogankan BERSIH,perhimpunan yang jika dilihat dari awal cuba sedaya upaya oleh pihak pemerintah untuk digagalkan, ternyata berjalan sebagaimana yang dirancang. Dengan jumlah yang sebegitu ramai,yang bukan sahaja berlaku di ibu negara, malah juga di UK,Taipei dan Hong Kong, mengindikasikan bahawa betapa ramai di kalangan manusia-manusia yang semakin celik, dari satu sudut, yang semakin bosan dengan lakonan-lakonan pemerintah, yang dikatakan menafikan hak mereka di dalam pilihanraya.


Jika dilihat secara umum, apa yang berlaku adalah pertembungan antara dua pihak yang dikepalai oleh orang-orang dari jenis yang sama. Mereka nyatanya dari kelompok politisi, yang mungkin agak kasar dikatakan, dahagakan sesuatu yang dipanggil sebagai kuasa. Satu yang sedang berkuasa dan yang satu lagi yang ingin berkuasa, dengan membawa motto kesamarataan. Politisi akan seperti biasanya mencanangkan apa yang ingin didengar pengikut bagi meraih sokongan dan merialisasikan matlamat mereka yang jelas bagi mereka,tetapi seringkali kabur bagi pengikut. Dan seperti kebiasaan,yang paling sedih diantara yang berkumpul ialah yang paling jujur dikalangan mereka.


Apa yang diperlihatkan bukanlah sesuatu yang asing sebagai salah satu dari produk demokrasi yang telah lama diamalkan. Demokrasi jika dirujuk dari tafsiran membawa maksud suatu bentuk kerajaan di mana kuasa menggubal undang-undang dan struktur kerajaan adalah ditentukan oleh rakyat. Ataupun perkataan yang berasal dari yunani ini memberi maksud ‘Diperintah oleh rakyat’. Terma ini kadangkala digunakan untuk mengukur sejauh mana pengaruh rakyat diatas kerajaan. Tetapi sedikit tersedih bagi negara tercinta ini apabila demokrasi yang dipraktikkan terselit perkataan ‘Terpimpin’ dibelakangnya, yang menjadikan rakyat sebagai subjek yang diukur oleh kerajaan untuk mengekakalkan kekuasaan.


Sebagai seorang muslim, kita tidak dapat mengelak dari melihat demokrasi dari sudut pandang Islam itu sendiri. Seperti yang disentuh pada tulisan sebelum ini, kuasa belum pernah dilepaskan pemilihan haknya kepada manusia. Tetapi sepertinya kebanyakan ulama-ulama bersependapat bahawa Islam sangat merelakan sistem demokrasi yang suatu ketika dahulu dicadangkan oleh kolonial British ini. Dengan bersandarkan pada peristiwa majlis syura, mereka meyakini bahawa para sahabat Rasul juga sejak dari awal setelah wafatnya, telah mengamalkan demokrasi. Rasanya tidak perlu untuk diceritakan tentang ketidakadilan yang berlaku ketika pemilihan sewaktu majlis syura di dalam tulisan ringkas ini. Tetapi apa yang jelas ialah apa yang berlaku tidak pernah dianjur oleh sang Rasul. Kerana di dalam Islam itu telah ada sistem perlantikkannya sendiri.


Suatu masa kita diajarkan tentang bagaimana sistem ‘pecah dan perintah’ yang dibawa oleh penjajah untuk memecah belahkan satu-satu bangsa jajahan, yang telah berjaya membuatkan misi jajahan mereka tercapai hingga tak terkalahkan. Sampai satu masa kaedah ini berjaya dihidu dan manusia semakin peka tentang muslihat licik ini. Lalu mereka kembali dengan kesedaran, bersatu semula dengan tumbuhnya persatuan-persatuan dan badan-badan yang membawa slogan yang sama, berusaha untuk menjatuhkan sang penjajah. Tersentak dengan kesedaran ini sang penjajah ‘berehat’ seketika apabila melihatkan rakyat yang sebelum ini diam tiba-tiba bangkit, sebelum mereka datang semula dengan kaedah yang sama, cumanya namanya sahaja yang berlainan, iaitu DEMOKRASI. Dengan nama yang baru ini dan dengan ayat yang bergulung-gulung, manusia merasakan bahawa mereka telah berjaya menjatuhkan sang penjajah yang telah lama membayangi hak mereka. Sedang bagi pihak yang menjajah, mereka kembali ketawa terbahak-bahak mengira kekayaan yang terhenti untuk seketika. Dengan terlahirnya demokrasi, manusia kembali dipecahkan. Cumanya kali ini kaedah pecahannya agak sedikit berlainan. Dengan memilih boneka-boneka yang betul dan taat, sang penjajah kemudiannya meraikan kejayaan gemilang ini dengan suatu pesta yang mereka namakan MERDEKA. Dan dengan terasminya pesta ini, makanya sistem ‘pecah dan perintah’ ini atau nama barunya ‘demokrasi’ ini yang dulunya diharamkan rakyat kini dihalalkan dengan hati yang penuh rela.


Dan hari ini kita menyaksikan betapa ramai manusia yang kecewa dengan ketidakadilan yang berlaku selama siri-siri pemilihan yang sebelum ini, berhimpun untuk menyatakan hak dan ketidakpuasan hati mereka, dengan berarak menghantar memorandum kepada Yang Mulia Raja. Itu kefahaman bagi kita yang berada di bawah. Tetapi apakah itu sebenarnya yang berlaku?Ataupun ada sesuatu yang lain yang sedang berlaku yang tidak diketahui orang bawahan seperti kita, yang cuma diketahui kelompok-kelompok tertentu yang sedang bersenang lenang di atas sana?........

No comments:

Post a Comment